Saturday 31 January 2009

Kenduri kesyukuran di Pekan

Baru-baru ini, kenduri kesyukuran bersempena dengan kemenangan calon Pakatan Rakyat yang diwakili oleh PAS di Parlimen P.036 Kuala Terengganu, YB. Haji Abdul Wahid Endut telah diadakan di beberapa tempat di kawasan Pekan.

Kenduri ini juga bertujuan untuk meraikan para petugas PAS Pekan yang turut serta berkempen selama lebih kurang seminggu di sana untuk memenangkan calon PAS. Setakat ini, majlis tersebut baru diadakan di Pekan dan di DUN Chini.

Koleksi gambar-gambar di bawah dapat disaksikan untuk dikongsi bersama:




Tuesday 20 January 2009

PAS ucap terima kasih kepada semua


PAS Terengganu khasnya merakamkan ucapan terima kasih dengan seribu penghargaan kepada semua ahli parti, para petugas, jentera PAS, rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat seperti Parti KeADILan Rakyat (KeADILan)), DAP, Kelab Penyokong PAS dan para pengundi khususnya di Kuala Terengganu.

Ucapan penghargaan itu kerana semua pihak yang terlibat bekerja dan berusaha bagi memenangkan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil kali ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut melahirkan rasa terharu dengan sokongan serta bantuan semua pihak bekerja bagi memenangkan PAS dalam pilihan raya kecil ini.

"Saya hendak ambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak, kepada SPR, kepada polis dan khususnya kepada para pengundi yang telah pun memberikan kepercayaan dan mandat untuk kita (PAS) menang dalam pilihan raya ini.

Begitu juga kepada petugas-petugas dari semua parti yang terlibat dalam Pakatan Rakyat seperti Parti KeADILan Rakyat, DAP dan PAS," jelasnya.

Menurutnya, bantuan petugas bagi menggerakkan jentera parti bukan sahaja dari negeri ini tetapi termasuk di luar Terengganu yang datang membantu.

"Mereka yang datang bukan sahaja dari Terengganu tetapi dari seluruh negara yang bekerja sepanjang masa.

Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan Insya-Allah, saya akan cuba mengambil masa untuk jelajah ke seluruh negara dan mengadakan ceramah-ceramah di seluruh negara," jelasnya.

Katanya, kehadiran para petugas PAS dan Pakatan Rakyat dari luar Terengganu yang begitu ramai dengan mengorbankan masa, tenaga dan kewangan.

Menurutnya, pada peringkat awal ini diatur program menyambut kesyukuran di atas kemenangan di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Unit Peti Undi (UPU) dalam negeri terlebih dahulu.

Harakah

Sunday 18 January 2009

'Jangan putus hubungan dengan Allah' - Abdul Wahid Endut


Mohd Abdul Wahid Endut yang memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu mengingatkan agar para petugas parti supaya terus menjaga hubungan dengan Allah dalam memastikan keberkatan dalam setiap usaha dijalankan.

Demikian ucapan sulung beliau dalam satu majlis bersama petugas dan penyokong Pakatan Rakyat di markaz PAS Kuala Terengganu, Kuala Ibai selepas majlis pengumuman calon selesai di Stadium negeri, Kuala Terengganu semalam.

"Terdapat banyak syarat yang membolehkan kita mencapai kemenangan dalam pilihan raya ini, dan selepas menang kita perlu terus konsisten menjalankan gerak kerja.

"Jangan putus hubungan dengan Allah," tegasnya.

Beliau berkata, usaha dan inisiatif yang dibuat oleh PAS Kelantan seperti mengadakan majlis solat hajat, munajat dan sebagainya merupakan contoh terbaik yang diambil bagi memastikan kemenangan yang dicapai terus diberkati Allah.

"Kita belajar daripada Kelantan, yang memperolehi kekuatan dengan cara tarbiyah seperti ini," katanya.

Adun Wakaf Mempelam itu turut mengingatkan semua pihak bahawa banyak daripada mereka yang mendapat kuasa tidak dapat menahan diri dengan ujian kemenangan

"Sedangkan itu merupakan prasyarat utama agar Allah memberikan kemenangan,"

"Kita berharap agar Allah akan memberikan kemenangan kepada kita untuk menjadi kerajaan di negeri Terengganu ini," ujarnya sambil disambut lauangan takbir.

Abdul Wahid juga tidak lupa merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk petugas Pakatan Rakyat termasuklah petugas daripada negeri-negeri yang bertungkus lumus dalam menjayakan pilihan raya ini.

Untuk itu katanya, beliau akan turun ke setiap UPU bagi mengadakan majlis kesyukuran bagi meraikan petugas-petugas daripada dalam dan luar Kuala Terengganu.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali dan Timbalannya Ustaz Abu Bakar Chik.

Harakah

Saturday 17 January 2009

PAS menang, Abdul Wahid layak ke Parlimen!


KUALA TERENGGANU - PAS telah berjaya memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu melalui calonnya, Abdul Wahid Endut, 51 dalam pilihan raya kecil yang diadakan hari ini.

Kemenangan Abdul Wahid dalam persaingan sengit itu menyaksikan Adun Wakaf Mempelam itu mengalahkan BN yang diwakili oleh calon Umno, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon bebas Azharuddin Mamat, seorang ahli perniagaan.

Ini bermakna jumlah ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertambah menjadi 83 kerusi, sementara jumlah ahli Parlimen BN merosot kepada 137 orang apabila dua ahli Parlimen SAPP turut meninggalkan BN baru-baru ini.

PAS mendapat 32,883 undi manakala BN 30,252, sementara undi calon Bebas adalah 193 undi, di mana PAS mendapat kelebihan majoriti 2,631 undi.

Perkara itu diumumkan oleh Pengurus Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) Negeri di Stadium Negeri, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Pengumuman kemenangan itu disambut gembira dengan laungan takbir dan sorakan oleh ribuan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat yang berada di pekarangan stadiaum terbabit.

Abdul Wahid, 51 tahun adalah ADUN sejak lima penggal, lulusan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dalam bidang perikanan dan sains marin. Beliau memiliki rekod yang cemerlang sebagai Adun selama lima penggal dan anngota Exco Kerajaan Negeri Terengganu sepanjang tempoh 1999-2004.

Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana 3 daripadanya dimenangi oleh PAS manakala 1 DUN dimenangni BN (MCA)

DUN-DUN yang dimenangi oleh PAS ialah Wakaf Mempelam (Abdul Wahid Endut), Ladang (Tengku Hassan Tnegku Omar), dan Batu Burok (Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.

Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen P036 berikutan kematian mengejut penyandangnya, Allahyarham Dato' Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 27 Oktober lalu.

Pada pilihan raya umum ke-12, 8 Mac 2008 lalu Razali menang tipis dengan majoriti 628 undi menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf hanya mendapat 685 undi. Jumlah pengundi berdaftar di Parlimen Kuala Terengganu ialah 80,229 orang termasuk 1,035 pengundi pos.

Harakah

Wednesday 14 January 2009

Undi PAS untuk keberkatan dalam hidup


Kuala Terengganu - PAS sebagai Parti Islam, mempunyai tanggungjawab sosial untuk menterjemahkan Islam kepada kehidupan masyarakat. Sebab itu memilih PAS akan mendatangkan keberkatan di dalam kehidupan masyarakat di Kuala Terengganu ini.

Masalah sosial terutamanya dikalangan remaja semakin bertambah teruk, dan inilah hasil daripada pemerintahan UMNO selama 52 tahun di negara ini.

YB Dr Hasan Ali bercakap di dalam ceramah umum sempena pilihanraya kecil Kuala Terengganu di Kg Panji semalam. Beliau berkata bahawa, antara punca utama kerosakan anak-anak muda hari ini, disebabkan UMNO meracuni pemikiran mereka.

Menurut beliau, selama 52 tahun pemerintahan UMNO/BN gejala sosial ini tidak dapat dibendung.

Buktinya media elektronik seperti TV dan radio yang dikawal UMNO/BN terus dimonopoli dan dipenuhi dgn program-program yang lebih banyak mendatangkan masalah sosial di dalam masyarakat. Majalah-majalah dan bacaan hiburan dibiarkan mengawal minda mereka.

Statistik jenayah dan masalah remaja juga semakin meningkat sehingga berada pada tahap yang sangat menggerunkan.

"Saya melihat sekarang ini orang-orang muda di Terengganu tidak jauh beza dengan Kuala Lumpur. Tuan-tuan inilah budaya hidup yang dibawa oleh UMNO" kata beliau merujuk kepada masalah anak-anak muda di Kuala Terengganu.

Oleh yang demikian kata beliau, PAS perlu diberikan kemenangan di Kuala Terengganu untuk menjadi penawar kepada racun yang serap masuk oleh UMNO ini.

Beliau juga menceritakan ketika berjumpa dengan pengundi-pengundi cina dan mengajak mereka mengundi PAS, mereka berkata YB Dr Hasan tidak perlu risau, tetapi pengundi-pengundi cina ini lebih risaukan pengundi melayu yang jumlahnya jauh lebih ramai daripada mereka.

Ini juga menunjukkan bahawa pengundi cina dapat melihat kebaikan mengundi calon PAS berbanding BN.

prk036.pas.org

KT Bandaraya Metropolis dan Metrofulus


Kuala Terengganu boleh dikategorikan sebagai bandar paling selamat di Malaysia. Ini kerana dengan kehadiran 10,000 anggota polis yang dibawa ke sini sejak sebelum penamaan calon lagi.
Media kerajaan telah melaporkan seramai 6,000 anggota polis yang telah dikerah ke sini, namun daripada pemerhatian kami, lebih ramai polis daripada rakyat biasa yang berkeliaran di sekitar Kuala Terengganu, seolah-olah Bandar Kuala Terengganu ini Bandaraya Polis.
Menurut sumber, difahamkan kini penambahan lagi 2,000 anggota polis dari pelbagai unit terutamanya anggota dari Sarawak dijangka akan digunakan untuk mewujudkan insiden provokasi bagi menampakkan Pakatan Rakyat memulakan kekecohan dan huru-hara di kawasan pilihan raya
Penambahan tersebut kini dipercayai menghadapi masalah penempatan MARTEK polis yang ditempatkan di keempat-empat Dun.

Terdahulu, Ustaz Nasarudin Hassan Tantawi sewaktu dalam ceramahnya di Markaz PAS Pasir Panjang meminta kerajaan menghantar polis ke kawasan-kawasan maksiat di Kuala Lumpur bagi mencegah maksiat terutama di Lorong Haji Taib, yang dipenuhi dengan mak nyah dan pelacur sejak lama dulu.

Namun kerajaan mengerahkan anggota polis berkampung di Kuala Terengganu sehingga kawasan ‘red spot’ terabai.

Ahli Parlimen BN sendiri, Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Haji Salleh dalam sidang Parlimen 6 Disember 2008 yang lepas melahirkan perasaan kesalnya kerana setelah 10 tahun menunggu, Sabah masih menghadapi masalah kekurangan anggota polis, terutamanya di kawasan luar bandar.

Ahli parlimen Kalabakan itu berkata, Kementerian Dalam Negeri sering memberi alasan PDRM melalui proses `rebranding’ dalam usaha menyelesaikan masalah kekurangan anggota polis. Tambah beliau, selain masalah kekurangan anggota, polis juga hadapi masalah kekurangan kenderaan di kawasan luar bandar.

Hasilnya, Malaysia boleh ‘menternak’ dan ‘membiak’ tiga kumpulan gengster terbesar di Malaysia beroperasi dengan keahlian 17,252 orang dikesan sejak 2005 seperti syarikat tersenarai di bursa saham termasuk mempunyai kumpulan cawangan serta jalinan rangkaian yang canggih.

‘fulus’ berterbangan

Kuala Terengganu juga menjadi medan ‘fulus BN’ berterbangan di piliharaya kecil ini. Masing-masing di kalangan perwakilan UMNO di lihat mempromosi diri bagi membeli undi perwakilan dalam pemilihan Agung UMNO pada Mac nanti. Mereka bijak menggunakan peluang ini untuk mengambil hati perwakilan yang kebetulan berkumpul di sini berkempen sama.

Fenomena sebegitu sepatutnya tidak dimainkan di Kuala Terengganu. Pemimpin-pemimpin UMNO tidak perlu susah payah turun ke kawasan-kawasan yang dilihat hanya berkempen untuk diri sendiri.

Kenyataan tersebut disokong, YB Hj Ir Amirudin Bin Hamzah, ADUN Anak Bukit, Kedah. Jentera kempen UMNO hanya bergerak dengan 25% anggotanya manakala yang lain-lain sibuk dengan kempen pemilihan UMNO.

Dupahang

Petugas Kontigen Pahang turun ke tengah masyarakat


Tiga hari lagi pengundi di Kuala Terengganu akan menentukan siapakah yang akan mengisi kekosongan di kerusi parlimen yang telah kosong disebabkan kematian wakil rakyat yang lalu.

Suasana di tempat Kontigen PAS Pahang di tugaskan agak “biasa” sahaja.
Kelihatan petugas-petugas BN banyak berkumpul di bilik-bilik gerakan mereka. Pergerakan wanita dan puteri mereka tidaklah nampak begitu rancak. Pemasangan poster BN banyak dilaksanakan di waktu malam. Sesekali kelihatan pemuda BN membawa bendera dengan menggunakan motosikal.

Petugas PAS dari kontingen Pahang telah begerak ke rumah-rumah pengundi di seluruh lokaliti yang dipertanggung-jawabkan. Diantara aktiviti yang dilakukan ialah menziarahi pesakit-pesakit yang telah dikenalpasti. Turut bersama Dr.Harison, AJK Dewan Muslimat PAS Pahang.

Aktiviti seperti pertandingan memancing,BBQ dan sukan mendapat sambutan remaja di seluruh kawasan unit peti Pasir Panjang.

Untuk Peti undi Bukit Bayas kegiatan kontijen Pahang bermula jam 4.00 pagi bermunajat dan dikuti dengan tazkirah wajib pada semua petugas.

Petugas seperti biasa akan bergerak ke lokasi tugasan yang telah ditetapkan oleh pengarah oprasi, Hj. Mohd Nor dibantu petugas tetap Dewan Ulamak Pas Pahang.

mazlanyasin/DUP

Monday 12 January 2009

Pilihanraya Kecil: Sekitar Aktiviti Siri Ceramah Pakatan Rakyat Oleh Barisan Kepimpinan PKR Pada Malam Ini Iaitu 12 Januari 2009 !!


KUALA TERENGGANU - Nampaknya ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat kini semakin mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat Kuala Trengganu. Ramai pemerhati yang berpendapat bahawa PAS sudah pasti akan menang dengan majoriti yang lebih besar dalam pilihanraya kecil 17 Januari ini jika tiada unsur subversif atau tindakan jahat puak-puak UMNO dan BN di sini. Krew kami sempat hadir dalam kedua-dua ceramah iaitu PAS dan BN, ternyata sambutan luar biasa di ceramah PAS gagal untuk disaingi oleh BN. Senario inilah yang berlaku di Permatang Pauh dulu, yang mana akhirnya berjaya memenangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan majoriti yang lebih besar. Apakah fenomena yang sama juga akan turut berlaku di Kuala Trengganu kelak. Apapun, kami ucapkan sekalung tahniah atas segala sumbangan dan jasa yang diberikan oleh para petugas sepanjang kempen berjalan ini. Ternyata mereka begitu bersemangat waja dan terus menyakinkan rakyat supaya menyokong PAS biarpun diasak dengan berbagai tekanan oleh pihak lawan. Buat anda yang baru tiba di Kuala Trengganu dan ingin hadir ke ceramah-ceramah yang bakal diadakan sepanjang baki kempen ini.

Maka dibawah ini kami paparkan informasi terkini ceramah yang bakal disertai juga oleh pimpinan Pakatan Rakyat dari PKR malam ini (Isnin,12 Januari) di DUN Wakaf Mempelam (Lokasi Kg.Panji dan Kg.Kubang Tangga) ceramah akan disampaikan oleh Dr.Zarawi. Bagi DUN Bandar (Kg.Tok Ku) ceramah oleh Saudara Saiful Izham. Di Kg.Kuala Hiliran pula ceramah oleh Tn.Hj Rahman. Mankala itu bagi lokasi DUN Ladang (Kg.Batas Baru) ceramah oleh YB Chai dan di Kg.Panji Alam ceramah oleh Sdr Mustafa Kamil. Sementara itu di Markas PKR Ladang pula ceramah oleh Sdr. Fariz Musa, Hj.Rahman, Sdr.Wan Rahim, Dato' Tengku Hassan dan Sdr Saiful Izham. Markas PKR Bukit Besar pula ceramah oleh Sdr Razali Alias, Cikgu Bard dan Tn.Hj.Suhaimi. Bagi DUN Batu Buruk di Jalan Sekolah Kebangsaan Chendering Pantai pula ceramah oleh Sdr Mustafa Kamil, di Pantai Batu Buruk ceramah oleh YB Amiruddin. Bagi pejabat PKR Negeri pula ceramah oleh Sdr Shamsul Iskandar, Sdr Low CC, Sdri Ginie Lim dan Sdr Wan Rahim.

[Melihat siri ceramah yang diadakan jelas sekali membuktikan bahawa sokongan rakyat begitu baik terhadap PAS. Biarpun media arus perdana kini banyak memainkan isu-isu besar bagi mengaburi mata rakyat Kuala Trengganu, namun ternyata mereka sebenarnya telah mula sedar dari lamunan mimpi-mimpi ngeri selama ini. Cuma, apa yang kita harapkan supaya sokongan ini akan berterusan menjelang hari pengundian nanti. Jika tidak sudah pasti perubahan yang bakal terlaksana akan terbantu dan BN akan terus berkuasa di Kuala Trengganu kelak. Kini rakyat sebenarnya semakin bijak untuk membuat penilaian, terutamanya golongan muda. Justeru itu semangat yang ada perlulah disemarakkan agar parlimen Kuala Trengganu bakal menjadi saksi betapa ranap dan punahnya masa depan UMNO dan BN itu sebenarnya].

PahangDaily.blogspot

Perang siber PAS


Pendekatan berkempen menerusi dunia digital atau perang siber ini dilihat semakin menyemarakkan lagi kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu ini,

Berkempen menerusi alam siber khususnya laman web, blog politik, khidmat pesanan ringkas (SMS), emel dan persidangan video menjadi kaedah baru yang menghangatkan suasana berkempen sama ada membabitkan parti atau calon yang bertanding bagi tempoh 5 hari sehingga Sabtu nanti.

Pas yang sendiri mempunyai dua laman web khas untuk pilihanraya kecil Kuala Terengganu ini, turut mencatatkan peningkatan pengunjung laman web yang mendadak sepanjang tempoh tidak sampai seminggu selepas penamaan calon, 6 Januari lalu.

Ahli jawatankuasa Pas Pusat, Ustaz Haji Idris Ahmad ketika dalam ceramahnya di Wakaf Beruas malam tadi menekankan medium penerangan Pas melalui internet.

"Kempen calon dalam pilihanraya dahulunya, hampir 50 peratus penggunaan kempen parti atau calon masih bergantung kepada media cetak, elektronik, ceramah terbuka, kempen rumah ke rumah dan pemasangan poster sebagai sumber penyampaian maklumat kepada pengundi," terangnya.

Beliau berkata, laman web yang dibangunkan itu memudahkan pengundi mengakses maklumat terkini perjalanan pilihanrayakecil parlimen Kuala Terengganu. Aktiviti terkini dan kesungguhan calon bersama para pengundi di empat buah Dun serta aktiviti jentera Pas dan pakatan rakyat dalam berkempen dapat lihat ramai.

Apa yang menariknya menurut beliau, sidang media harian dan ceramah-ceramah umum juga boleh dilihat secara langsung oleh pengakses internet di dalam dan luar negara, baginya secara total Pas menggunakan medium ini sebaiknya dalam menyampaikan penerangan yang jelas kepada pengundi di sini khasnya.

Beliau berkata para pengundi khususnya generasi muda yang 'internet savvy' sudah hantar peringatan jelas kepada kerajaan pada pilihanraya umum Mac lalu.

"Contohnya di Selangor, undi 40 peratus dari golongan muda yang membantu kemenangan pakatan rakyat di sana, rata-ratanya mereka mendapatkan maklumat sebenar selepas melihat pihak kerajaan yang menggunakan semua jentera media menjalankan kempen piliharaya untuk kepentingan mereka," tambahnya.

Turut mengulas Khairy, beliau dengan tegas menolak kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam yang menyifatkan PAS sebuah parti 'dok rok cetong'.

prk036.pas.org.my

Saturday 10 January 2009

Prestasi Wahid memuaskan, wakil rakyat yang prihatin - pengundi


Ramai di kalangan pengundi di beberapa unit peti undi (UPU) yang ditemui di sekitar Parlimen Kuala Terengganu menyatakan sokongan kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut untuk mewakili mereka.

Mamat Ngah yang ditemui di UPU Permint Jaya semalam menyatakan, Abdul Wahid adalah seorang wakil rakyat yang sangat prihatin kepada pengundi di Dun Wakaf Mempelam yang diwakilinya sejak 18 tahun lalu.

“Setiap kali ada masalah yang dihadapi penduduk saya dapat maklumat beliau turun ke kawasan bagi melihat sendiri permasalahan penduduk, kami di Permint Jaya mengharapkan sangat dapatlah Abdul Wahid ini menjadi wakil rakyat bagi Parlimen Kuala Terengganu ini.

“Kami mahu merasakan khidmat baktinya seperti beliau berikan kepada penduduk di Dun Wakaf Mempelam,” katanya dengan penuh semangat.

Abdul Wahid baginya walaupun mewakili Dun yang lain dari tempatnya, namun sering berkunjung di sini bagi bertemu penyokong dan bertanyakan khabar sentiasa, kata Mamat.

Sementara itu, Abdul Rashid Sulaiman selaku pengiring kepada Abdul Wahid mengakui setiap tempat yang dilawati calon PAS sepanjang tiga hari kempen (6 hingga 8 Januari) itu mendapat sokongan yang jitu dari pengundi.

Paling ketara, pengundi warga Tiong Hua yang berpusu-pusu bertemu Abdul Wahid tatkala calon PAS itu menziarahi mereka, kata Abdul Rashid yang segak dengan vestnya.

“Khidmat beliau selaku wakil rakyat sudah terbukti, oleh sebab itu beliau mampu bertahan selama lebih 18 tahun atau lima penggal, ini saya lihat sendiri dan sudah terbukti,” katanya.

Sementara itu seorang penguasaha bengkel logam berbangsa Tiong Hua di Syarikat Logam Utama Trading Berhad di Permint Jaya menyatakan sokongan tak berbelah bagi kepada Abdul Wahid.

Beliau menyambut kehadiran Abdul Wahid di kilangnya dengan senyuman dan dengan bangga menyatakan akan menyokong Abdul Wahid sebagai wakil rakyat Parlimen Kuala Terengganu.

Sesekali semasa bersembang dengan Abdul Wahid, pengusaha berbangsa Cina itu menyebut nama Abdul Wahid adalah calon yang direstui pemimpin yang menjadi contoh kepada rakyat iaitu, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sementara semasa lawatannya ke beberapa bengkel di kawasan Perindustrian Permit Jaya, Abdul Wahid tidak menang tangan untuk bersalaman sambil melemparkan senyuman yang ikhlas kepada pengundinya.

Beliau dengan wajah tenang menyantuni golongan pekerja bengkel yang kebanyakan sedang sibuk dengan tugas masing-masing.

Ada pekerja yang datang merapatinya sambil memeluk Abdul Wahid dan menyatakan sokongan dengan cukup bersemangat, dan mengharapkan Abdul Wahid melakukan perubahan yang tidak dilakukan oleh pemimpin Umno/BN.

Jadual Abdul Wahid pada 8 Januari sangat ketat, namun panggilan demi panggilan yang diterima bagi mengadakan lawatan termasuk ke rumah seorang pengundi yang mengalami kematian anaknya di Sungai Rengas.


Kehadiran beliau bagi melawat Allahyarham, Noraznira Ismail (15) yang meninggal pada 8 Januari memberi penuh makna kepada ahli keluarga Allahyarham.

Seketika selepas melawat keluarga tersebut, Abdul Wahid bergegas ke beberapa tempat lain termasuk untuk bersolat asar dan manghrib dengan pengundi.

Rutin ini dilakukan Abdul Wahid bukan sahaja semasa kempen kali ini, malah beliau mengamalkannya di Dun Wakaf Mempelam sebelum ini sehingga pengundi di sini 'sayang’ kepadanya.

Dupahang

Tambah suara rakyat di Parlimen

Pengarah Operasi Jentera Pilihan raya PAS bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong menyeru pengundi supaya memberikan sokongan kepada PAS untuk membolehkan suara rakyat dapat disampaikan di Parlimen.

Katanya, PAS bukan sekadar bertanding untuk untuk memenangi kerusi politik sahaja pada pilihan raya kecil itu tetapi untuk menyampaikan seruan rakyat di Dewan Rakyat.

“Insya Allah, 17 haribulan ini, bukanlah kita sekadar bertanding untuk memenangi kerusi politik, tetapi seruan yang akan kita sampaikan di Parlimen,” ujarnya pada satu majlis di Masjid Hiliran, di sini.

Beliau yang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan kepada PAS menggunakan premis itu menambah, ia digunakan untuk menyampaikan perkara yang amat penting.

“Yakni seruan untuk menyempurnakan fitrah kejadian kita sebagai khalifah di muka bumi ini ialah mengabdikan diri untuk memerintah, membentuk keimanan dan akhlak umat Islam, yang telah pun dicemari pada hari ini, dengan budaya-budaya dan ajaran yang menyesatkan pada hari ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri mengambil contoh bagaimana sambutan yang dilakukan sempena menyambut Hari Natal oleh masyarakat di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang baru-baru ini bukan sahaja memalukan umat Islam tetapi memalukan masyarakat yang bertamadun.

“Dan inilah suatu contoh yang kita lihat, kenapa kita mesti menambahkan suara kita di parlimen, yang boleh menyedarkan bahawa kegagalan pemerintahan di Malaysia selama 50 tahun ini, yang menghancurkan harapan ummah, yang menghancurkan harapan untuk menegakkan agama Allah di bumi yang kita hidup pada hari ini,” ujarnya.

Justeru, katanya adalah menjadi kewajipan setiap individu Islam dan bukan Islam untuk melihat keadilan Ilahi kerana ianya melintasi etnik kaum, bangsa dan agama. Ini, tambahnya selaras dengan diutuskan Nabi Muhammad untuk membawa rahmat kepada seluruh alam tanpa mengira bangsa, keturunan dan apa sahaja sehingga unggas dan binatang yang melata di bumi juga akan mendapat rahmat daripada Islam.

“Dan inilah untuk kita menjadikan panduan, kewajipan diri individu untuk melihat keadilan Islam, keadilan Ilahi itu akan dinikmati oleh seluruh penduduk bumi ini, apa sahaja kaum, apa sahaja agama, yang ada nada bersama-sama kita,” ujarnya.

Siasah

Wednesday 7 January 2009

BIODATA: Calon PAS P.036 Kuala Terengganu


Nama : Mohd Abdul Wahid bin Hj. Endut
Umur : 51 tahun
Tarikh lahir : 29 hb September 1957
Tempat kelahiran : Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu
Tempat tinggal : Kampong Seberang Baruh Kiri,
Jalan Kelantan, Kuala Terengganu

Keluarga
Isteri : Wan Fatimah binti Wan Abdullah
Pekerjaan Isteri : Guru (P.K. HEM)
Anak : 9 orang – 2 lelaki dan 7 perempuan

Taraf Pendidikan:
1. Sekolah Rendah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu
2. Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu
3. Universiti Pertanian Malaysia ( UPM ) Serdang

Pengalaman kerja:
1. Pegawai Tadbir UPM
2. Peniaga
3. Exco Kerajaan Negeri Terengganu – 1999 – 2004
4. ADUN Wakaf Mempelam sejak 1990 – hingga sekarang

Jawatan Dalam Parti:
1. Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu
2. Yang Di Pertua PAS Kawasan Kuala Terengganu

Kerana UMNO, Saya Masuk Hospital! Saya Nak Saman UMNO di Akhirat


Seminggu ini saya terpaksa berulang alik dari Kuantan ke Kuala Terengganu . Siang saya di Kuantan sementara malam saya di Kuala Terengganu.

Sepatutnya saya bertugas sepenuh masa di Kuala Terengganu, tetapi oleh kerana jadual persekolahan anak - anak saya belum tetap dan stabil sehingga Isnin depan maka saya terpaksa menguruskan mereka setiap pagi sementara umminya terpaksa keluar mengajar seawal jam 6.40 am.

Perjalanan selama 3 jam dari Kuala Terengganu sedikit sebanyak membuatkan saya berasa bosan, sepi dan sunyi memandu keseorangan. Tapi apa boleh buat, saya terpaksa menunaikan kedua - dua tanggungjawab tersebut. Antara perjuangan dan keluarga. Semoga Allah swt memberi saya kekuatan yang luar biasa untuk menghadapi cabaran yang berat dan memenatkan ini.

Letih dan Penat

Mengantuk, letih, sakit pinggang, sakit tengkuk dan 1001 macam rasa dalam keadaan sebegini. Sesekali terfikir kenapa aku memilih jalan hidup yang seperti ini sedang orang lain enak tidur di rumah. Sesekali pertanyaan nakal seperti itu menerjah tanpa izin membuatkan sedikit sebanyak diri ini terganggu memikirkannya.

Mana tidaknya, badan letih, makan tidak menentu dan tidur tidak cukup. Masa nak bekerja cari duit untuk bekal masa depan memang tidak ada langsung. Kira makan apa yang ada tapi alhamdulillah sehingga hari ini, makan senantiasa ada. Belumlah kebuluran kerana berjuang walau tidaklah kaya atau mewah seperti orang lain.

Ikut rasa memanglah nak berehat, sungguh letih badan yang kerdil ini. Semalam pun saya hubungi Ustaz Wan Shukairi, dia kata, syeikh ana kena balik tidur segera sebab badan ana dah rasa lain macam. Sejuk panas tidak menentu, bimbang pula esok tidak boleh turun ke majlis penamaan calon. Nampaknya bukanlah saya seorang yang keletihan.

Sebelum saya melanjutkan perjalanan yang jauh ini, saya sempat singgah di sebuah kedai makan dekat kampung Rusila untuk pekena Radix secawan. Kebetulan bertemu dengan Ustaz Azman Syafawi [Pengarah Jentera Pilihanraya Kecil P.036 Pemuda Pusat], Ustaz Arifin [Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Pusat] dan Dr. Shamsuri [Setiausaha Politik Presiden PAS] yang juga singgah meredakan ketegangan rasa dan kepenatan tubuh sambil pekena nasi goreng kampung .

Mereka juga gagal menyembunyikan rasa letih dan penat yang amat setelah bertungkus lumus melunaskan tanggungjawab dan amanah perjuangan ini. Saya lihat semua tarik muka 40.

Beberapa jam sebelum tu, berlangsung mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS Pusat di Markaz tarbiyah PAS Kuala Ibai. Yb. Ketua Pemuda terlewat sampai kerana mempunyai komitmen lain yang lebih memerlukan perhatian dan kehadhiran beliau maka saya diminta untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Penghujung mesyuarat, Yb. Salahudin sampai dan saya kembali menyerahkan majlis kepada beliau untuk dipengerusikan olehnya. Sewaktu dia membuka bicara, saya nampak sangat dia keletihan. Maklumlah, kata beliau sedari pagi beliau mempunyai komitmen aktiviti yang tidak boleh di elak termasuk menangani isu Gaza dan bertemu beberapa tokoh tertentu untuk mengatur langkah berkesan menangani isu tersebut. Tambah pula mengambil perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dengan kenderaan darat.

Sungguh memenatkan! Begitulah kenyataan tanpa suara yang boleh saya fahami dari Yb. Ketua Pemuda yang sangat saya sayangi. Idola saya dalam perjuangan ini. Melihat kelibatnya ditengah medan, cukup menjadikan saya bermotivasi tinggi untuk terus thabat dalam perjuangan ini.

Rakan EXCO pemuda PAS Pusat pun sama. Dalam senyum mesra merapat ukhuwwah nyata tetap terserlah wajah kepenatan dan keletihan mengurus amanah dan tanggungjawab perjuangan besar lagi suci ini. Ustaz Riduan yang baru balik dari United Kingdom, Sdr Sabki mengendali pengurusan seketeriat Pemuda, sdr Adram pening kepala mencari dana untuk kelangsungan perjuangan, Sdr Kamaruzaman tak kalah seperti Menteri Wilayah Persekutuan menangani warga kota yang begitu rencam wajah kehidupan mereka yang terpisah dari wahyu Allah swt.

Boleh dikatakan nampak benar rasa penat dan letih dari setiap wajah seluruh EXCO Pemuda PAS Pusat. Namun mereka bijak mengatasi rasa agar tidak jelas kelihatan dihadapan umum. Tapi saya percaya mereka penat dan letih.

Memikirkan realiti ini maka yakinlah saya bahawa saya tidak keseorangan walau saat itu saya memandu keseorangan. Sedang saya belum lagi masuk kira seluruh pemimpin PAS terutama Mursyid Am, Presiden, Timbalan Presiden, Naib - naib Presiden dan seluruh AJK PAS Pusat bahkan seluruh pemimpin dan aktivis parti disemua peringkat dan pastinya rasa saya yang paling penat dan letih ialah anggota Briged Unit AMAL yang siap bertugas bila dikerah tanpa peduli bila masanya.

Biasanya saat seperti itu membuatkan saya bertindak menghubungi sahabat - sahabat seperjuangan. Walau sekadar bertanya khabar sudah cukup membuatkan diri ini bermotivasi untuk meneruskan perjuangan yang serba mencabar. Tapi ... waktu dinihari seperti ini siapalah yang nak angkat telefon, nanti saya mengganggu mereka pula, sudahlah mereka kepenatan...

Tok Guru Nak Saman UMNO

Akhirnya saya mencari vcd - vcd lama untuk dipasang bagi membelah suasana sunyi dan sepi sepanjang jalan yang telah melepasi jam 3 pagi.

Saya memilih vcd ceramah Tok Guru Nik Abdul Aziz al Mursyidul Am PAS. Sungguh menarik kupasan ceramah Tok Guru yang sememangnya dikenali dan diketahui umum kepakaran beliau menyampai ceramah dan mengupas isu yang berlaku.

Pertengahan ucapan Tok Guru, saya bagai terpaku apabila mendengar dengusan Tok Guru yang menegaskan bahawa beliau nak saman UMNO depan Allah di akhirat kelak. Saya tersentak lalu mengulang semula ucapan Tok Guru.

Tok Guru kata : " Saya masuk hospital kerana UMNO, saya nak saman UMNO di akhirat kelak. Kerana UMNO melakukan perbuatan mungkar dan sebesar - besar mungkar yang dilakukan oleh UMNO ialah mengasingkan politik dengan agama. Saya terpaksa turun berjuang, keluar rumah berceramah, kuliah dan sebagainya. Nak duduk di rumah berehat tak boleh sebab Allah bagi lidah dan tenaga ni bukan untuk diam melihat sahaja mungkar yang UMNO buat.......

" Terpaksa keluar hingga larut - larut malam, akhirnya jatuh sakit masuk hospital. Ini semua kerana UMNO. Aku nak saman kamu wahai UMNO di depan Allah di akhirat nanti...."


Begitulah lebih kurang ayat Tok Guru yang saya masih ingat. Tegas juga Tok Guru malam sewaktu menyampaikan ceramah tersebut yang dihadhiri puluhan ribu manusia di dataran Stadium Sultan Muhammad Kelantan.

Maknanya benarlah, Tok Guru juga penat dan letih memimpin perjuangan ini sejak sekian lama cuma beliau sangat gagah dan kuat menelan segala kepahitan dan kepenatan demi Islam.

Cuma apa yang membuatkan saya baru faham hari ini ialah, keletihan dan kepenatan yang dirasai selama ini bahkan kesakitan yang dialami rupa - rupanya berpunca dari UMNO dan BN. Manakan tidak, kalau lah tidak kerana UMNO dan BN menyuburkan bumi ini dengan segala macam maksiat, mungkar, penyelewengan, penindasan dan pengkhianatan kepada rakyat maka tidaklah penat begini kita di medan.

Kalau begitu Tok Guru, saya pun nak failkan saman. Saya percaya semua pemimpin PAS yang dulu dan kini akan turut di belakang Tok Guru menfailkan saman terhadap UMNO dan BN di depan Allah, kerana mereka lah sebahagian besar masa, tenaga dan harta kita habis terkorban. Siap kamu UMNO!

Pun begitu, saya sungguh yakin, belum sempat kita saman Allah swt pasti akan membayar segala ganti rugi kita sebagaimana firman Allah swt :

يا أيها الذين امنوا هل ادلكم على تجارة تنجيكم من عذاب اليم تؤمنون بالله و رسوله و تجاهدون في سبيل الله بأموالكم و أنفسكم ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون . يغفرلكم ذنوبكم و يدخلكم جنات تجرى من تحتها الانهار و مساكن طيبة في جنات عدن ذلك الفوز العظيم

Wahai orang - orang yang beriman, adakah mahu Aku tunjukkan kamu satu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Kamu beriman kepada Allah dan RasulNya serta berjihad di Jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu sedang sedemikian itu adalah suatu yang terlebih baik bagi kamu jika sekiranya kamu mengerti. Malah ia Mengampunkan dosa - dosa kamu dan memasukkan kamu kedalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai - sungai serta disediakan tempat tinggal yang indah di dalam syurga A'dnin. Sedemikian itu adalah satu kemenangan yang agung.

Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi

Monday 5 January 2009

Selamat berjuang. Allahuakbar...

Bersempena dengan Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan berlangsung mulai esok sehingga 17 Januari nanti, PAS Kawasan Pekan telah menghantar petugas-petugas yang akan turut serta membantu bagi memenangkan calon PAS P.36 Kuala Terengganu, Abdul Wahid Endut.

Seramai 18 orang petugas telah bertolak ke Kuala Terengganu pada jam 4.00 petang tadi sebelum mereka berkumpul di Masjid Al-Hidayah yang terletak di Kuantan. Sebanyak 2 buah kereta, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah van telah digunakan untuk ke sana.

Para petugas PAS Kawasan telah ditugaskan di UPU Pasir Panjang yang terletak di dalam DUN Ladang, mulai 5 hingga 11 Januari ini. Antara petugas yang turut serta dalam misi ini ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Ustaz Mohd Fadhil Nor Abdul Karim, Setiausaha Agung PAS Kawasan, Kapt. Hj. Ahiatudin Daud dan AJK PAS Kawasan, Ustaz Othman Bakar.

Sebelum berangkat, mereka semua telah diiringi oleh sedikit ucapan dan doa oleh YDP Kawasan, Ustaz Abu Kassim Manaf.





AYAHANDA NAIB KETUA DEWAN ULAMAK PAS PAHANG KEMBALI KE RAHMATULLAH

ALFATIHAH - Ayahanda Ust. Syukri Hj. Ahmad bin Abd Rahman . kembali ke rahmatillah pada jam 5.35 petang pada hari Jumaat lalu dan jenazah al marhum telah disembahyangkan di Masjid Saidina Umar al Khattab Cenderawasih Kuantan dan disemadikan di tanah perkuburan Felda Keratong 4 & 5 pada jam 12 tengah malam .

Al Marhum adalah tokoh veteran PAS Kawasan Rompin . Beliau adalah antara angkatan awal sebagai aktivis PAS kawasan Rompin khasnya bagi DUN Ibam dan gugusan Felda Keratong .

Beliau menghabiskan sebahagian besar usianya untuk mengaktifkan amal islami sekitar Kawasan Rompin . Biarpun beliau bukan seorang tokoh pemimpin yang mampu berpidato hebat tetapi istiqamah dan ketekunan beliau bersama perjuangan ini adalah sangat dicontohi oleh generasi muda hari ini .

Al Marhum telah membuktikannya melalui kesungguhan beliau mendidik anak - anak sehingga peninggalan beliau boleh disifatkan sebagai contoh kepada orang lain apabila beliau meninggalkan zuriat yang juga aktif menyambung risalah perjuangan ini .

Antaranya ialah Al Fadhil ustaz Shukri Hj Ahmad adalah Naib Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang dan YDP PAS Kawasan Rompin sejak beberapa penggal yang lalu sehingga kini . Al Fadhil Ustaz Nazri Hj. Ahmad pula EXCO DPPN Pahang dan juga Ketua DPP Kawasan Rompin dan Al Fadhil Ustaz Suhaimi Hj. Ahmad AJK PAS Kawasan Rompin .

Semoga beliau digolong bersama golongan hamba-hambaNya yang soleh.

Berita Pahang

Friday 2 January 2009

Abdul Wahid Endut calon PAS untuk PRK Kuala Terengganu


Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam Abdul Wahid Endut diumumkan sebagai calon PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari nanti.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebentar tadi di Stadium Negeri yang dihadiri lebih 10,000 penyokong.

Turut hadir sama dalam majlis penting itu Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden PAS Mohammad Sabu, Setiausaha Agung PAS Dato' Kamaruddin Jaffar, Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan beberapa pimpinan PAS Pusat yang lain.

Manakala di peringkat negeri dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Dato' Mustafa Ali, Timbalan Pengarah Pilihan Raya Dato' Wan Mutalib Embong, Adun Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Nawawi dan saf kepimpinan negeri.

Abdul Wahid, 52 tahun adalah ADUN sejak lima penggal, lulusan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dalam bidang perikanan dan sains marin. Beliau memiliki rekod yang cemerlang sebagai Adun atau Exco selama sepenggal dan sebagai Adun pembangkang.

Wahid dianggap sebagai anak didik Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali kerana kerusi Wakaf Mempelam yang beliau wakili kini adalah kerusi yang dimenangi oleh Mustafa ketika PAS melakukan 'comeback' di Terengganu pada tahun 1982.

Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana 3 daripadanya dimenangi oleh PAS manakala 1 DUN dimenangni BN (MCA)

DUN-DUN yang dimenangi oleh PAS ialah Wakaf Mempelam (Abdul Wahid Endut), Ladang (Tengku Hassan Tnegku Omar), dan Batu Buruk (Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi)

Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen P036 berikutan kematian mengejut penyandangnya, Dato Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 27 Oktober lalu.

Pada PRU ke-12, 8 Mac 2008 lalu Dato' Razali calon BN menang tipis dengan majoriti 628 undi menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf hanya mendapat 685 undi. Jumlah pengundi berdaftar di Parlimen Kuala Terengganu ialah 80,229 orang termasuk 1,035 pengundi pos.

Harakah